Search This Blog

Tuesday, January 31, 2012

KISAH TIGA SAHABAT MENGUTIP BATU

Alkisah maka tersebutlah cerita tiga orang rakan yang berpergian di suatu malam yang gelap gelita. Hanya rembulan yang memantulkan sedikit cahaya. Ketiga-tiga orang rakan karib itu telah melalui satu kawasan yang tidak pernah dilalui hanya bercahayakan lampu picit.
...
Tatkala tiba di satu tempat, mereka terjumpa beberapa ketulan batu di atas pasir. Batu-batu itu berkilau sinarnya dek pancaran sang rembulan. Maka, mereka pun berfikir untuk mengutip batu itu. Manalah tahu sekiranya ia berharga yang boleh digadai di kedai pajak gadai.

Lelaki yang pertama di antara mereka tidak mengutip apa-apa kerana dia menyangka batu-batu itu cuma batu-batu biasa dan tiada nilainya. Lelaki yang kedua pula mengutip sedikit dan dimasukkan ke dalam uncangnya. Lelaki yang ketiga pula mengutip dengan banyak sehingga padat uncangnya. Setelah itu mereka pun meneruskan perjalanan menyeberangi sebatang sungai menggunakan rakit.

Perjalanan diteruskan lagi setelah sampai di seberang. Mereka menuju ke sebuah kampung untuk mencari guru silat. Setelah agak kepenatan, mereka pun tertidur di sebuah pondok buruk sehinggalah masuk waktu Subuh. Setelah Subuh, mereka pun berzikir sehingga matahari terbit.

Maka, teringatlah mereka bertiga akan batu-batu yang dikutip dalam uncang mereka semalam. Lalu, dua orang rakan yang mengutip batu itu ke dalam uncang cuba menuangkannya ke atas tanah. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati batu-batu itu adalah permata!

Berkatalah lelaki pertama yang tidak mengutip apa-apa,"Ruginya aku, jika aku tahu nescaya aku mengambilnya sedikit."

Berkata pula lelaki kedua,"Aku pun rugi juga. Jika aku tahu, mesti aku akan ambil lebih banyak lagi."

Lelaki ketiga menepuk dahinya,"Ruginya! Ruginya! Jika aku tahu, pasti aku akan kutip semuanya!"

P/S: Perumpamaan cerita di atas memberi iktibar kepada saya dan anda semua, sewaktu di dunia, rebutlah sebanyak-banyaknya amalan kebajikan untuk dibawa ke akhirat sana. Kerana dalam hadis ada menyebutkan bahawa, tiada waktu-waktu yang paling DISESALI oleh penghuni syurga melainkan waktu-waktu yang telah mereka lalui tanpa mengingati Allah. Maknanya, masuk syurga pun menyesal lagi kerana jika di dunia, amalan kebajikannya lebih banyak, tentu dia dapat menikmati syurga yang lebih tinggi dan luas. Jika penghuni syurga pun menyesal, apalagi penghuni neraka. Malangnya, kita tidak akan dikembalikan ke dunia lagi

No comments:

Post a Comment