Musuh-musuh Islam khususnya para Orientalis tidak henti-henti menyerang aqidah umat Islam dengan berbagai-bagai cara. Terbaru adalah artikel yang terbit dalam majalah Al-Islam keluaran November 2003/Ramadan 1424 (KDN. P. P. 2194/10/2003 Tahun ke 30 bil. 358) yang ditulis oleh Astora Jabat yang terkenal dengan tulisan-tulisan yang menyeleweng dari ajaran Islam. Tidak berapa lama dulu penulis upahan Barat ini mengejutkan umat Islam dengan cerita Firaun tidak kufur dan wanita Islam tidak wajib menutup
Jawapan Terhadap Astora Jabat Yg Menafikan Azab Kubur
Musuh-musuh Islam khususnya para Orientalis tidak henti-henti menyerang aqidah umat Islam dengan berbagai-bagai cara. Terbaru adalah artikel yang terbit dalam majalah Al-Islam November 2003/Ramadan 1424 yang ditulis oleh Astora Jabat yang terkenal dengan tulisan-tulisan yang menyeleweng dari ajaran Islam. Tidak berapa lama dulu penulis upahan Barat ini mengejutkan umat Islam dengan cerita Firaun tidak kufur dan wanita Islam tidak wajib menutup kepala yang terang-terangan bercanggah dengan nas Al-Quran.
Dalam majalah Al-Islam keluaran November 2003/Ramadan 1424 Astora menulis bahawa azab kubur tidak ada dengan mengemukan beberapa dalil-dalil aqal yang terang menunjukkan kejahilan dan kesesatannya.
Di antara dalilnya ialah tiada ayat yang menyebut dengan jelas tentang adanya azab kubur dan tiada hadith yang sahih mengenainya.
Padahal sekelian ulamak-ulamak tafsir dan ulamak-ulamak hadith yang muktabar seperti Imam Ibn Kasir, Imam Al-Qurtubi, Imam Ar-Raazi, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah dan lainnya menyebut tentang adanya azab kubur dan kewajipan beriman dengannya didalam kitab-kitab mereka.
Adakah Astora lebih tahu tentang Quran daripada sekelian ulamak tafsir dan ulamak hadith?
Imam Abu Hanifah menyebut pada kitabnya yang bernama Al-Fiqhul Akbar :
"Dan sempitnya kubur dan azab kubur itu adalah benar kepada mayat kafir sekeliannya dan sebahagian dari yang derhaka dari orang2 yang beriman."
Astora menyebut dalam tulisannya bahawa adanya azab kubur itu tidak ada sepakat olih para ulamak.
Ini adalah jelas satu pembohongannya kerana ulamak-ulamak Ahlu Sunnah menyebut bahawa perkara azab kubur ini adalah perkara yang disepakati olih sekelian ulamak Salaf mahupun Khalaf.
Berkata Imam Ibn Qayyim dalam Kitab Ar-Ruh : "Telah ijmak sekelian ulamak Ahli Sunnah bahawa wajib beriman tentang adanya azab kubur dan tiadalah menafikannya melainkan kaum yang sesat lagi menyesatkan."
Al-Imam Al-Qurtubi menyebut didalam tafsirnya : "Tiadalah menafikan adanya azab kubur itu melainkan orang-orang yang sesat daripada Kaum Khawarij dan Murjiah."
Hadith2 Yang Menjadi Dalil Adanya Azab Kubur
Berikut kami datangkan 23 hadith-hadith yang sahih yang mana 21 buah hadith daripadanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang terang-terang menyebutkan tentang sabitnya kewujudan azab kubur.
1. Dari Barra' bin 'Azib r. a. bahawa Nabi saw berdoa semasa tiba diperkuburan Baqi' Al-Gharqad : "Aku mohon berlindung dengan Allah Taala dari azab kubur."(Hadith Sahih Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Nasaai, Ibn Majah, Al-Hakim dan Ibn Hibban.)
2. Dari Barra' bin 'Azib r. a. bahawa Nabi saw menceritakan hadith yang panjang tentang datang malaikat kepada mayat didalam kubur sehingga sabdanya "... dan dibukakan bagi mayat yang jahat itu akan satu pintu kepada neraka maka datang akan dia kepanasan api neraka tersebut dan pedihnya dan sempitlah atasnya oleh kuburnya sehingga berselisishlah segala tulang rusuknya.." (Hadith Sahih Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Thoyalisi, Baihaqi, Ibn Abi Syaibah, Al-Hakim, Abd Razzaq, Ibn Mandah, Abu Nu'aim dan At-Thobari.)
3. Dari Ibn 'Abbas r. a. ketika Nabi saw apabila lalu dekat 2 buah kubur baginda bersabda : "Sungguhnya kedua mayat ini sedang diazab. Bukanlah keduanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci dari kencing. Dan seorang lagi kerana berjalan kesana kemari mengadu domba. Maka Nabi saw meminta dengan pelepah tamar yang basah lalu dipatahkan kepada dua bahagian dan dipacakkan kepada dua buah kubur tersebut. Dan Nabi saw pun bersabda : Mudah-mudahan diringankan dari kedua mayat ini selama pelepah ini belum kering." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari dan Muslim. Juga diriwayatkan oleh Abu Daud , Tirmizi, Ibn Majah, Nasaai, Imam Ahmad, Ibn Abi Syaibah, Baihaqi, Baghawi, Ad-Darimi, Ibn Mandah dan Thoyalisi.)
4. Daripada Abdullah bin Umar r. a. bahawa Nabi saw bersabda : "Sungguhnya mayat itu diazab dengan sebab ratapan ahlinya keatasnya." (Hadith Sahih Imam Riwayat Bukhari)
5. Daripada Umar r. a. bahawa Nabi saw bersabda :
"Bahawasanya mayat itu akan diazab dengan sebab sebahagian ratapan ahlinya keatasnya."
(Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)
6. Daripada A'iyah r. a. bahawa Nabi saw ketika lalu dekat keluarga Yahudi yang sedang maratapi mayat salah seorang ahli keluarga mereka lalu bersabda :
"Kamu sekelian menangisi atasnya dan sungguhnya dia diazab didalam kuburnya "
(Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)
7. Daripada Umar r. a. sungguhnya Nabi saw bersabda : "Sungguhnya mayat itu diazab dengan sebab ratapan orang yang hidup." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)
8. Daripada A'isyah r. a. sesungguhnya Nabi saw bersabda "Sungguhnya Allah swt akan menambah bagi orang kafir akan azab dengan sebab ratapan ahlinya keatasnya."
(Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)
9. Dari Barra' bin 'Azib bahawa Nabi saw bersabda : "Apabila didudukkan mayat yang mukmin didalam kuburnya kemudian didatangi oleh malaikat dan ia pun bersaksi bahawa Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Yang demikian itu adalah FirmanNya 'Telah menetapkan olih Allah akan orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap' (Surah Ghafir ayat 45) telah turun ayat ini tentang azab kubur." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)
10. Daripada A'isyah r. a. bahawa beliau telah bertanya Rasulullah saw tentang azab kubur maka jawab Rasulullah saw : "Ya. Azab kubur itu memang benar."
Berkata A'isyah r. a. : "Tiadalah selepas itu aku lihat Rasulullah saw selepas menunaikan solat melainkan minta berlindung daripada azab kubur."
(Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)
11. Daripada Anas bin Malik r. a. bahawa Nabi saw bersabda tentang mayat kafir dan munafiq didalam kubur mereka:
"Dan dipukul akan mayat itu dengan pemukul daripada besi dengan satu pukulan. Maka bertempik mayat itu dengan satu tempikan yang mendengar akan dia oleh sekelian yang disisnya melainkan jin dan manusia." (Hadith sahih riwayat Imam Bukhari)
12. Daripada Abi Ayyub r. a. bahawa suatu hari Nabi saw terdengar satu suara lalu baginda bersabda : "Mayat Yahudi yang sedang diazab didalam kuburnya." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)
13. Daripada anak perempuan bagi Khalid bin Said Ibn Al-'Ass bahawa dia telah mendengar"Nabi saw berdoa memohon perlindungan daripada azab kubur." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)
14. Daripada Abi Hurairah r. a. beliau berkata : "Adalah Rasulullah saw berdoa : Ya Allah! Sungguhnya aku minta berlindung dengan Engkau daripada azab kubur dan azab neraka.." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)
15. Dari Ibn Umar r. a. adalah Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya Allah swt tidak mengazab akan mayat dengan sebab mengalir air mata atau dengan sebab bersedih hati tetapi mengazab Ia akan mayat dengan sebab lidah ataupun mengasihani." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
16. Dari Syu'bah r. a. beliau berkata : "Telah turun ayat 45 Surah Ghafir berkenaan azab kubur." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
17. Daripada A'isyah r. a. bahawa Nabi saw bersabda : "Bahawasanya azab kubur itu sesungguhnya memang benar." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
18. Daripada Anas r. a. adalah suatu hari Nabi saw lalu pada kampung Bani Najjar maka tedengar ia akan satu suara dari satu kubur maka baginda pun bersabda : "Bilakahkah ditanam akan tuan punya kubur ini"
Jawab para sahabat "Pada zaman jahiliyyah"
Maka Nabi saw bersabda : "Jikalaulah tidak kerana ianya ditanam nescaya telah aku minta supaya Allah perdengarkan kamu sekelian akan azab kubur."
(Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
19. Daripada Abdullah bin Umar r. a. bahawa Nabi saw bersabda : "Sesungguhnya mayat itu diazab didalam kuburnya." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
20. Daripada A'isyah r. a. berkata kepada Nabi saw bahawa 2 orang tua Yahudi berkata adalah ahli kubur itu diazab didalam kubur mereka itu. Maka Nabi saw pun bersabda : "Benarlah kata mereka berdua. Sungguhnya mayat-mayat itu diazab didalam kubur mereka sehingga mendengar akan dia oleh sekelian binatang." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
21. Daripada Abi Hurairah r. a. bahawasanya Nabi saw bersabda :
"Apabila selesai kamu daripada membaca tasyahhud akhir maka hendaklah kamu minta berlindung dengan Allah swt dari empat perkara yaitu dari azab neraka Jahannam dan dari azab kubur dan dari fitnah hidup dan fitnah mati dan dari fitnah Dajjal."
(Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
22. Daripada Ibn Abbas r. a. berkata "Bahawasanya Nabi saw mengajar akan mereka itu akan doa ini seperti mana baginda mengajar mereka itu akan Surah dari Al-Quran yaitu "Wahai Allah! Sungguhnyaaku memohon berlindung dengan Mu daripada azab Jahannam dan daripada azab kubur dan daripada fitnah hidup dan mati dan daripada fitnah Al-Masih Dajjal." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
23. Daripada Anas Bin Malik r. a. bahawasanya Nabi saw bercerita tentang mayat kafir didalam kubur : "Kemudian dipukul akan mayat tersebut dengan satu pemukul daripada besi pada antara dua telinganya." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
Maka jelas daripada segala hadith-hadith yang sahih ini bahawa azab kubur memangnya sebenar dan sekelian orang Islam wajib mempercayainya dan orang yang mengingkarinya adalah sesat dan keluar dari agama Islam.
Apabila telah teranglah dari hadith-hadith tersebut tentang adanya azab kubur maka dapatlah kita yakini bahawa Astora Jabat yang telah menulis artikel didalam majalah Al-Islam itu adalah sesat dan cuba menyesatkan orang yang lain.
Adakah patut kita berpegang dengan pendapat seorang pemberita yang jahil lagi sesat dan kita tinggalkan hadith-hadith yang telah diriwayatkan oleh berpuluh-puluh ulamak hadith?
Al-Imam Al-Qadhi 'Ali Ibn Abi Al'Izz Ad-Dimasyqa pada Kitab Syarah Thahawiyah juz 2 m. s. 578 : "Dan telah mutawatirlah segala hadith dari Rasulullah saw pada sabitnya azab kubur dan nikmatnya dan soal dua malaikat. Maka wajib beri'tiqad akan sabitnya yang demikian itu."
Diantara kejahilan Astora Jabat sebagaimana artikel yang ditulisnya berkata bahawa bagaimana pula hendak diazab ke atas mayat yang mati dalam nahas udara atau ditelan binatang buas dimana mayatnya telah hancur?
Allah Taala menjelaskan didalam Al-Quran bahawa Dia berkuasa menghidupkan segala yang telah mati samada elok jasadnya atau sudah hancur.
Pada ayat 259 Surah Al-Baqarah Allah berfirman : "dan lihatlah kepada tulang-tulang keldai itu bagaimana Kami menyusunnya semula kemudian Kami balut akan dia dengan daging"
Yakni Allah swt hidupkan semula keldai yang telah mati yang berselerak tulang-tulangnya. Ini sebagi bukti yang jelas Allah berkuasa menghidupkan kembali segala yang telah mati walau pun dalam keadaan hancur.
Dan pada ayat 260 Surah Al-Baqarah Allah swt memperlihatkan kepada Nabi Ibrahim a. s. bagaimana Dia berkuasa menghidupkan burung-burung yang telah mati dicincang hingga lumat yaitu firman Nya :
"Wahai Ibrahim! Ambillah empat ekor burung dan engkau cincang burung-burung itu hingga lumat dan engkau hantarkan tiap-tiap juzuknya yang hancur itu diatas puncak bukit. Kemudian burung-burung itu Aku hidupkan dan datang kesemuanya berterbangan kepadamu dengan segera. Ketahuilah bahawasanya Allah swt Maha kuasa dan Maha bijaksana."
Dan banyak lagi ayat-ayat di dalam Al-Quran yang menceritakan bagaimana Allah menghidupkan mayat-mayat yang telah hancur dengan kekuasaanNya.
Dan pada m. s. 579 Al-Imam Al-Qadhi 'Ali Ibn Abi Al'Izz Ad-Dimasyqa pada Kitab Syarah Thahawiyah berkata : "Dan ketahui olehmu bahawa azab kubur itu adalah azab barzakh. Maka barang siapa yang telah mati maka mustahaklah bagi azab yang tertentu baginya samada dikuburkan atau tidak dikuburkan yang memakan akan dia oleh binatang buas atau hangus terbakar sampai menjadi abu atau diterbangkan pada udara atau disalib atau tenggelam dilaut nescaya sampailah kepada ruh dan jasadnya daripada azab sebagaimana yang sampai kepada mayat yang dikuburkan."
Sekelian ulamak Ahlu Sunnah Wal Jamaah telah sepakat bahawa barang siapa yang tidak percaya Allah Taala berkuasa menghidupkan semula orang-orang yang telah mati maka adalah ia sesat dan kafir.
Akhirnya kami menyeru umat Islam di Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan kesesatan Astora Jabat atau penulis-penulis seumpamanya dan jangan lagi membaca Majalah Al-Islam kerana sudah terang-terang bercanggah dengan aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah.
Diterbitkan oleh Jabatan Tafsir dan Al-Hadith Surau Ladang Kuala Terengganu
No comments:
Post a Comment