Menurut Al-Waqidi dan lainnya, mereka berkata: Satu peristiwa, pada
pertempuran Yarmuk, keluarlah dari barisan musuh seorang panglima besar
musyrik, lalu dia menyeru Khalid bin Al-Walid untuk keluar dari barisan
kaum Muslimin. Khalid pun keluar dengan kuda tangkasnya, hingga
hampir-hampir kedua kuda itu berlaga kerana ketangkasannya. Maka
berkatalah panglima pasukan musyrik itu yang bernama Jarjah:
"Engkaukah yang dikenal Khalid, panglima pasukan ini?".
"Ya, aku Khalid pedang Allah!" jawab Khalid.
"Khalid, pedang Allah?" tanya Jarjah lagi.
"Ya", jawab Khalid. "Dan engkau siapa?"
"Aku Jarjah, panglima perang!"
"Apa maksudmu memanggil aku ke sini?" tanya Khalid.
"Hai Khalid! Bicaralah yang benar, dan jangan berdusta! Sebab orang
yang merdeka itu tidak berdusta. Dan jangan pula engkau menipuku,
kerana orang yang berkedudukan seperti engkau ini tidak akan menipu
yang lain, apa lagi bila hal itu ada pertaliannya dengan Allah!" jarjah
ingin menguji kejujuran Khalid.
"Baiklah", jawab Khalid. "Aku akan berkata benar dan menjawab sesuai dengan kehendakmu!"
"Engkau mengaku diri sebagai pedang Allah, bukan?" tanya Jarjah.
"Ya", jawab Khalid pendek
"Apakah Allah telah menurunkan pedang itu dari langit kepada Utusan
kamu, lalu dia menyerahkan pedang itu kepadamu, dan engkau tidak akan
menghunuskan kepada sesiapa pun, melainkan engkau akan mengalahkannya?"
Jarjah meminta penerangan dari Khalid.
"Tidak!" jawab Khalid pendek lagi.
"Oh, tidak?!" Jarjah mengejek. "Jadi bagaimana engkau dipanggil sebagai
pedang Allah? Bukankah itu ajaib sekali?!" Jarjah menambah lagi.
"Tidak ajaib, jika engkau mendengar cerita yang sebenarnya!" jawab Khalid.
"Kalau begitu ceritakanlah kepadaku!" pinta Jarjah.
"Sekarang dengarlah ceritanya: Sesungguhnya Allah telah mengutus kepada
kita UtusanNya, lalu Beliau mengajak kami memeluk Islam, tetapi kami
menjauhkan diri darinya, dan kami sekalian menyingkirkannya. Meskipun
begitu ada juga setengah dari kami yang mempercayainya dan mengikutnya,
manakala yang lain mendustakannya dan menentangnya, dan jika engkau
ingin tahu aku adalah di antara orang-orang yang mendustakannya dan
menentangnya", Khalid menceritakan dirinya dengan jujur.
"Sesudah itu?" tanya Jarjah yang mendengar dengan penuh minat.
"Kemudian Allah telah melembutkan hati kami, dan membukakan pemikiran
kami, lalu kami diberiNya petunjuk untuk memeluk Islam, dan kami pun
memberikan kesetiaan kami kepadanya", Khalid berdiam sebentar mengenang
dirinya di masa lalu.
"Kemudian, apa yang berlaku?" tanya Jarjah lagl
'Kerana aku memeluk Islam itulah, maka beliau berkata kepadaku: Hai
Khalid! Engkau ini adalah pedang dari pedang-pedang Allah, yang
dihunuskan Allah ke atas kaum musyrik, dan beliau mendoakan bagiku
dengan kemenangan!" jelas Khalid.
"Sebab itulah engkau dikenal dengan pedang Allah?!" tanya Jarjah.
"Ya, aku rasakan itu, dan aku orang yang paling keras di antara pasukan Islam ke atas kaum musyrik", 'jelas Khalid lagi.
"Baiklah", tanya Jarjah. "Engkau membawa pasukanmu ke sini itu, untuk apa?"
Aku datang ke sini untuk menyeru orang-orang seperti kamu kepada Islam, dan mempercayai Tuhan yang Satu!" jawab Khalid.
"Tuhan yang Satu?" tanya Jarjah.
"Ya, dengan menyaksikan bahwa tiada Tuhan melainkan Allah, dan
bahwasanya Muhammad itu adalah Utusan Allah, serta meyakini bahwa apa
yang dibawa Muhammad itu adalah dari Allah yang Maha Mulia", terang
Khalid.
"Kalau kami tidak mahu menerimanya?"
"Bayar upeti, dan kami akan melindungi kamu!"
"Kalau kami tidak mahu membayar upeti itu?"
"Kami akan memerangi kamu habis-habisan!"
"Baiklah, apa kedudukan orang yang mengikut seruanmu itu, dan yang mendampingkan diri dalam apa yang engkau seru itu?"
'Kedudukannya dengan kami sama tentang apa yang difardhukan Allah ke
atas kami sekalian, baik dia orang berpangkat atau orang yang rendah,
yang pertama memeluk Islam dan yang kebelakangan! Yakni siapa yang
mengikut Muhammad sekarang ini akan memperoleh pahala yang sama dengan
siapa yang telah mengikutnya lama sebelum ini, iaitu balasannya dan
kelebihannya?!"
"Bagaimana itu?" Jarjah meminta penjelasan.
"Ya", jawab Khalid, "bahkan boleh jadi lebih utama lagi".
"Bagaimana sampai begitu? Bagaimana agamamu menyamakan orang-orang ini
dengan kamu, padahal kamu sudah mendahului mereka?" tanya Jarjah.
"Mudah saja!" jawab Khalid. "Kita orang-orang yang terdahulu memeluk
Islam secara terpaksa, kerana kita telah menentangnya sebelum itu.
Kemudian kita memberikan kesetiaan kami kepadanya sedang dia hidup di
sisi kita, berita-berita langit sedang turun kepadanya, dia memberitahu
kita tentang firman-firman Allah itu serta dibuktikannya dengan
keterangan-keterangan yang tidak dapat diragukannya lagi", kata Khalid.
"Jadi, apa alasannya?" tanya Jarjah lagi.
"Jadi orang-orang seperti kita ini sudah melihat semua bukti-bukti itu,
dan kami mendengar sendiri darinya, sudah seharusnyalah kami
mengikutnya dan menganut kepercayaannya. Tetapi kamu tidak seperti
kami, kamu tidak melihat apa yang kami lihat, dan kamu tidak mendengar
seperti apa yang kami dengar dan berbagai keajaiban dan bukti-bukti
yang membenarkan seruan dan dakwaannya. Jadi barangsiapa yang mengikut
perkara ini di antara kamu dengan kebenaran dan niat yang baik,
tentulah dia lebih utama dari kami".
Jarjah terharu dengan penerangan Khalid itu, lalu dia berkata: "Demi
Allah, aku yakin engkau telah mengatakan yang benar, dan engkau tidak
menipuku!"
"Demi Allah, aku telah berkata yang benar, tiada suatu pun yang aku
sembunyikan, dan Allah telah membantuku untuk menjawab soalan-soalanmu
itu dengan yang benar", terang Khalid.
"Kalau begitu, apa gunanya lagi aku menyandang perisai ini", kata
Jarjah, dia lalu melepaskannya, sambil memeluk Khalid dan berkata: "Hai
Khalid! Ajarkanlah aku agama Islam itu!" pinta Jarjah.
Khalid Ialu mengajak Jarjah datang ke kemahnya, lalu disiramkan ke
atasnya dengan qirbah air (kulit kambing yang dibuat untuk mengisi
air), kemudian diajaknya Jarjah bersembahyang dengannya dua rakaat.
Akhirnya pasukan Romawi kecewa apabila Jarjah tidak kembali lagi kepada
mereka. Lalu mereka memulai penyerangannya kepada pasukan Islam, dan
pada mulanya mereka merasa bangga dengan kemenangan kecil di mana
mereka dapat mematahkan sayap-sayap pasukan Islam, kecuali yang sedang
dipertahankan oleh lkrimah bin Abu jahal ra. dan Al-Harits bin Hisyam
ra. Khalid bin Walid ra. pun keluar ke medan peperangan untuk
menyelamatkan pasukan Islam, dan keluar bersamanya Jarjah yang baru
memeluk Islam. Keduanya pun memimpin pasukan Islam di tengah-tengah
pasukan Romawi yang mencoba mengepung pasukan Islam. pasukan Islam pun
berteriak semangat dan menggempur di belakang panglimanya, si pedang
Allah, sehingga akhirnya pasukan Romawi tidak mampu bertahan lagi, dan
mereka pun mundur kebarisan mereka yang asal. Khalid terus berjuang
pedang dengan pedang bersama-sama pasukan Islam yang telah kembali
semangat perjuangannya, sedang Jarjah turut berjuang sebelah-menyebelah
dengan pasukan Islam dari sejak tengahari hingga matahari akan
terbenam, dan masuk waktu maghrib. pasukan Islam bersembahyang shalat
Dzhuhur dan Asar secara menunduk-nunduk saja kerana hebatnya
pertarungan yang berlaku di antara dua pihak itu. Akhimya Jarjah,
moga-moga Allah merahmatinya, gugur syahid setelah mendapat luka-luka
berat, dan dia tidak bersembahyang kepada Allah selain dua rakaat yang
dikerjakannya dengan Khalid ra. ketika dia memeluk Islam itu.
No comments:
Post a Comment